
Walaupun hanya ditahan beberapa hari, kata-kata itu masih segar dalam ingatannya. Memang benar penjara itu bagaikan neraka dan Fouad menyaksikan bagaimana tahanan Palestin diseksa dengan kejam oleh rejim Zionis.
Setiap tahanan pasti mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk penyeksaan dan ada yang terpaksa menderita pelbagai jenis penyeksaan sebaik ditahan, sehinggalah disumbat ke sel tahanan, menurut Agensi Berita Palestin (Wafa).
“Ia tragedi amat dahsyat yang pernah saya alami,” katanya menerusi rakaman audio dihantar kepada Wafa.
Beliau yang berasal dari daerah Qasra, wilayah Nablus, Tebing Barat, patah tiga tulang rusuk akibat dipukul pengawal penjara hanya kerana enggan mencium dan mengibar bendera Israel.
Fouad berkata, ada tahanan yang patah kaki dan cedera di tangan akibat digigit anjing.
“Semua hanya kerana keengganan kami cium dan pegang bendera (Israel) sambil gambar mereka dirakamkan,” katanya.
Penyeksaan tidak berperikemanusiaan itu turut dikongsi keluarga Moaz Amarneh, wartawan Palestin yang hilang mata kiri akibat ditembak penembak tepat Israel semasa membuat liputan pada 2019.
Beliau ditangkap bersama sembilan rakyat Palestin dalam operasi rutin rejim Zionis di Bethlehem, Tebing Barat pada 16 Okt lalu.
Beliau kini ditahan di penjara Megiddo.
Seorang ahli keluarga Moaz berkata, peguam memaklumkan Moaz cedera teruk di kepala dan lebam seluruh badan. Pihak pentadbiran penjara langsung tidak menghubungi mereka.
“Mereka sengaja memukul kepala Moaz. Mereka bukan tidak tahu kecederaannya, tapi sengaja memukul kepalanya. Mereka juga enggan hantar dia ke hospital mahupun memberinya ubat bagi meredakan kesakitannya.
“Peguam juga memberitahu dia terpaksa tidur atas lantai dalam bilik penuh sesak dengan tahanan lain,” kata keluarganya.
Sebelum ini, pihak pentadbiran penjara menolak permohonan membawa masuk ubat diperlukan Moaz.
Menurut keterangan tahanan yang dibebaskan dan laporan pertubuhan hak asasi manusia, penindasan terhadap tahanan Palestin berleluasa sejak 7 Okt lalu, menyebabkan beberapa kes tahanan maut dan lebih ramai ditahan.
Setakat ini, lima kematian tahanan Palestin di penjara Israel direkodkan, termasuk Abd al-Rahman Mar’i, 22, dari Salfit; Omar Daraghmeh, 58, (dari Tubas); Arafat Hamdan, 25, (dari Ramallah) dan Majed Zaqoul, 32, (dari Gaza), manakala seorang lagi identitinya belum didedahkan Israel, lapor Wafa.
Bekas tahanan di penjara Megiddo, Ali Saleh Hathnawi, berkata ada banduan berharap mereka ditembak mati atau digantung daripada melalui pelbagai seksaan setiap hari.
Pemuda dari Qabatiya, Jenin itu menceritakan tahap penyeksaan amat dahsyat sehingga ada yang merasakan mati lebih baik.
Mereka sering dipukul di bahagian kepala dan anggota badan sensitif, seolah-olah sengaja mahu menyebabkan kecederaan kekal kepada tahanan.
“Sebelum dibebaskan, saya berjumpa banduan patah tangan dan hidung. Saya juga lihat beberapa utas tali pinggang berlumuran darah di atas lantai. Ada juga banduan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan akibat dipukul dengan tali pinggang di kepala.
“Belum termasuk provokasi lain seperti maki hamun, cacian, cercaan berulang kali, tidak diberi makan, barang keperluan dan hak milik peribadi dimusnahkan.”
Beliau berkata, tahanan dipaksa mencium bendera Israel, jika enggan mereka akan dipukul berkali-kali, terutama di kepala dan selalunya dipijak pengawal sebelum diambil gambar.
Yayasan Penjagaan Tahanan dan Hak Asasi Manusia Palestin “Addameer” mendedahkan pentadbiran penjara Israel memperlakukan tahanan Palestin dengan kasar dan tanpa perikemanusiaan, termasuk memukul, mengurung dalam sel gelap, memotong bekalan elektrik dan air, menghalang lawatan peguam dan keluarga, memberi makanan sangat sedikit dan basi serta menutup klinik di penjara.
“Pentadbiran penjara juga tidak membenarkan pesakit dipindahkan ke klinik dan hospital, selain menghalang lawatan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah.”
Sebelum ini, Suruhanjaya Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin mendedahkan jumlah tahanan Palestin di semua penjara Israel melebihi 7,000 orang.