Aktivis, ahli Kongres AS mogok lapar gesa kekal gencatan senjata di Gaza

Aktivis, ahli Kongres AS mogok lapar gesa kekal gencatan senjata di Gaza

Peserta mogok di luar Rumah Putih khuatir momentum bagi menghentikan kekejaman di Gaza akan hilang susulan sambutan perayaan.

Mogok lapar di luar Rumah Putih, bagi menggesa gencatan senjata dikekalkan di Gaza, disertai pelakon, aktivis dan ahli Kongres AS. (Gambar AFP)
WASHINGTON:
Sekumpulan ahli kongres, aktivis dan pelakon di Amerika Syarikat melancarkan mogok lapar selama lima hari bermula Isnin.

Mogok itu diadakan di luar Rumah Putih bagi menggesa gencatan senjata kekal di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Antara yang turut serta termasuk pelakon Cynthia Nixon, Ahli Kongres New York dan Delaware; aktivis daripada pelbagai organisasi, seperti US Campaign for Palestinian Rights (USCPR) dan Jewish Voice for Peace (JVP); serta pemimpin-pemimpin Muslim, Yahudi dan bersekutu terkemuka.

Nixon berkata, dikhuatiri akibat sambutan Thanksgiving dan Krismas akan datang, momentum bagi menghentikan pengeboman dan pembunuhan di Gaza, sama ada di AS mahupun di seluruh dunia, hilang.

“Dan kami mengadakan mogok lapar sebagai satu cara untuk menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak hanya dibom dan dibunuh. tetapi juga sedang kelaparan dan kini di ambang kebuluran,” katanya kepada Anadolu.

Nixon berkata, 70% daripada hampir 15,000 rakyat Palestin yang terbunuh sepanjang tujuh minggu lepas terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, situasi yang belum pernah berlaku.

“Angka ini jauh lebih ramai berbanding jumlah yang dibunuh oleh AS dan sekutunya dalam perang selama 20 tahun di Afghanistan,” katanya.

Mogok lapar itu diadakan ketika Qatar mengumumkan lanjutan jeda kemanusiaan selama dua hari lagi di Gaza.

Walaupun mengalu-alukan lanjutan itu, peserta mogok lapar percaya ia perlu dikekalkan

“Dunia yang kami perjuangkan adalah apabila setiap keluarga bersatu. Dan satu-satunya cara mencapainya adalah melalui gencatan senjata bukan melalui pengeboman dan perang,” kata Ahli Kongres New York Zohran Mamdani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.