
Dalam hantaran di Facebook, Ramallah Friends School berkata tiga pelajar yang ditembak berhampiran kampus University of Vermont itu ialah pelajar Brown University di Rhode Island, Hisham Awartani, Kinnan Abdel Hamid iaitu pelajar Haverford College di Pennsylvania, Tahseen Ahmed, pelajar Trinity College di Connecticut.
Mereka berkata semua mangsa terselamat dengan tahap kecederaan yang berbeza.
“Ingatan dan doa kami untuk keluarga mangsa selain berharap mereka cepat sembuh terutama melihat keadaan kecederaan Hisham yang ditembak di belakang, Tahseen di dada dan Kinnan mengalami cedera ringan,” kata hantaran di Facebook.
Dalam kenyataan lewat Sabtu, polis Burlington berkata, pegawainya menerima panggilan memaklumkan tembakan dilepaskan sekitar 6.30 petang waktu tempatan dan dua didapati cedera di lokasi berhampiran kampus universiti manakala mangsa ketiga ditembak tidak jauh dari situ.
Tanpa mengenal pasti mangsa, polis berkata dua mangsa pertama dirawat di lokasi sebelum bomba menghantar mereka ke ke Pusat Perubatan University of Vermont dan polis turut membawa mangsa ketiga ke hospital sama.
Polis tidak dapat mengenal pasti dan menahan penembak itu. Jurucakap polis juga tidak dapat dihubungi pada Ahad.
Kejadian tembakan itu berlaku selepas Amerika Syarikat (AS) menyaksikan peningkatan insiden Islamophobia dan anti-Yahudi termasuk serangan serangan ganas dan gangguan dalam talian, sejak konflik Israel-Hamas meletus pada 7 Okt.
Pelajar terbabit bertutur dalam bahasa Arab dan memakai kain tradisional Palestin keffiyeh, kata menteri luar Palestin sambil menggesa pihak berkuasa AS menahan mereka yang bertanggungjawab.
Jawatankuasa Anti-Diskriminasi Amerika-Arab, sebuah pertubuhan advokasi yang berpangkalan di AS, menggesa penguatkuasaan undang-undang negeri dan persekutuan untuk menyiasat penembakan itu sebagai jenayah kebencian dalam satu kenyataan pada Ahad.
“Lonjakan dalam sentimen anti-Arab dan anti-Palestin yang kita alami tidak pernah berlaku sebelum ini, dan ini adalah satu lagi contoh kebencian itu bertukar menjadi ganas,” kata Pengarah Eksekutif ADC National Abed Ayoub.