
“Kami mempunyai lima sasaran nasional tahun ini, termasuk membebaskan negara daripada al-Shabaab, penghapusan sekatan senjata, kemasukan ke Komuniti Afrika Timur (EAC) dan pelepasan hutang, serta sekatan senjata akan ditarik balik awal bulan depan,” kata Mahamud, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sementara itu, penganalisis kanan Kumpulan Krisis Antarabangsa untuk Afrika Timur, Omar Mahmood, berkata kenyataan presiden berhubung penghapusan sekatan senjata menandakan keyakinan antarabangsa terhadap Somalia.
Majlis Keselamatan sebelum ini meneruskan sekatan senjata, merujuk kepada ancaman berterusan oleh kumpulan al-Shabaab terhadap keamanan dan kestabilan rantau itu.
Sekatan senjata itu berkuat kuasa sejak 1992 untuk memutus aliran senjata ke negara itu selepas terlibat dalam kancah perang saudara.