Pembunuh George Floyd parah ditikam di penjara AS

Pembunuh George Floyd parah ditikam di penjara AS

Pembunuhan Floyd oleh Derek Chauvin sebelum ini mencetuskan kemarahan dan bantahan besar-besaran terhadap kekejaman polis.

Bekas pegawai polis, Derek Chauvin, dilaporkan parah ditikam ketika menjalani hukuman penjara di Arizona, Amerika Syarikat. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Bekas pegawai polis, Derek Chauvin yang disabitkan bersalah membunuh George Floyd dilaporkan parah ditikam ketika menjalani hukuman penjara di Arizona, Amerika Syarikat (AS), menurut Agensi Berita Jerman (dpa).

Bagaimanapun, keadaan Chauvin dilaporkan stabil, menurut laporan media tempatan yang memetik sumber.

Chauvin, bekas pegawai polis di Minneapolis disabitkan bersalah membunuh Floyd, pada Mei 2020.

Kematian Floyd telah mencetuskan kemarahan meluas di Amerika Syarikat dan bantahan besar-besaran terhadap kekejaman polis serta diskriminasi terhadap orang kulit hitam.

Sebelum ini, Biro Penjara AS mengesahkan bahawa seorang banduan di Tucson Federal Correctional Institute telah ditikam dalam satu insiden tetapi tidak mendedahkan nama individu terbabit.

Agensi media termasuk CNN dan New York Times melaporkan bahawa banduan itu dikenal pasti sebagai Chauvin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.