
Israel dan Hamas pada Jumaat melaksanakan pertukaran tahanan pertama sejak konflik bermuka 7 Okt lalu.
Di bawah perjanjian Israel-Hamas, tahanan akan dibebaskan secara berkumpulan dalam tempoh empat hari.
Kementerian Luar Qatar berkata, Hamas membebaskan 24 rakyat Israel dan warga asing sebagai pertukaran untuk membebaskan 39 tahanan Palestin dari penjaranya dalam kumpulan pertama pertukaran.
“ICRC (Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah) menerima 24 orang awam, termasuk beberapa wanita dan kanak-kanak, di bawah perjanjian gencatan senjata kemanusiaan,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al-Ansari di X.
ICRC dalam kenyataan berkata: “Kami lega untuk mengesahkan pembebasan 24 tebusan dengan selamat.”
“Kami telah memudahkan pembebasan ini dengan membawa mereka dari Gaza ke sempadan Rafah, menandakan peranan kami sebagai perantara neutral antara pihak.”
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin mengesahkan 12 rakyat Thailand turut dibebaskan Hamas.
“Pihak keselamatan dan Kementerian Luar mengesahkan 12 warga Thailand sudah dibebaskan. Pegawai kedutaan dalam perjalanan mengambil mereka,” katanya di X.
Pejabat media kerajaan di kawasan dikepung pada Khamis berkata, rakyat Palestin yang maut dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza meningkat kepada 14,854 orang, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita, manakala lebih 36,000 lagi cedera.
Angka korban rasmi Israel pula berjumlah 1,200 orang.