Gunung berapi Dukono di Indonesia meletus

Gunung berapi Dukono di Indonesia meletus

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk dan pelancong supaya mengelak sebarang aktiviti dalam lingkungan 2km dari gunung berapi itu.

Letusan berkala Gunung Dukono di Indonesia mengeluarkan abu mencecah ketinggian antara 100 hingga 1,900m.
JAKARTA:
Gunung berapi Dukono di bahagian timur Indonesia meletus pagi Rabu, mendorong pihak berkuasa menasihatkan penduduk dan pelancong supaya mengelak sebarang aktiviti dalam lingkungan 2km dari gunung berapi itu.

Selain itu, penduduk berhampiran kawah Malupang-Warirang di Halmahera Utara, sebahagian daripada Kepulauan Maluku, dinasihatkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan risiko ancaman masalah pernafasan, menurut agensi kajian gunung berapi Indonesia.

“Letusan berkala mengeluarkan abu gunung berapi mencecah ketinggian antara 100-1,900m, dengan tebaran abu mengikut arah dan kelajuan angin,” kata agensi itu dalam kenyataan.

Walaupun kekerapan letusan berkurangan, data rakaman gegaran agensi kajian menunjukkan tanda-tanda bekalan magma meningkat ke permukaan. Sehingga kini, tahap aktiviti gunung berapi kekal pada tahap II atau “bersiap-sedia”.

Menurut Ketua Badan Pengurusan Bencana Wilayah Halmahera Utara Hence Heteria, letusan Dukono bermula pada 8 malam waktu tempatan pada 8 Okt lepas, selepas berlaku bunyi dentuman dan letupan kuat.

“Letusan itu menyebabkan hujan abu gunung berapi meliputi empat mukim setakat ini,” katanya.

Empat mukim yang terdedah kepada abu gunung berapi itu termasuk Tobelo Utara, Tobelo, Tobelo Tengah dan Tobelo Selatan, melibatkan 49 kampung dan menjejaskan 86,197 penduduk.

Beliau berkata letusan itu tidak memberikan kesan ketara kepada masyarakat, namun pihak berkuasa tetap bersiap sedia mengedarkan 8,000 hingga 10,000 pelitup muka sehari.

Gunung Dukono, setinggi 1,087m dari aras laut, mempunyai dua kawah aktif, termasuk Malupang-Warirang, menjadikannya antara gunung berapa paling aktif dan kerap meletus sehingga kini.

Gunung itu pernah meletus pada skala lebih kecil pada 1719, 1868, dan 1901 dan secara berterusan meletus sejak 1933, menyebabkan kerosakan, namun tanpa kemalangan jiwa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.