Israel serang Hospital Al-Shifa di Gaza

Israel serang Hospital Al-Shifa di Gaza

Israel sebelum ini tegas mendakwa Hamas mempunyai pusat arahan yang terletak di bawah hospital terbesar di Gaza itu.

IDF berkata, pihaknya akan menjalankan operasi bersasar di Hospital Al-Shifa ‘berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi’. (Gambar AP)
GAZA:
Tentera Israel berkata, pihaknya akan menjalankan operasi terhadap Hamas di Hospital Al-Shifa, Semenanjung Gaza, pada Rabu dan menggesa semua anggota kumpulan di hospital itu menyerah diri.

Kurang sejam sebelum itu, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza berkata, pihak Israel memaklumkan pegawai di kawasan itu bahawa ia akan menyerbu kompleks hospital berkenaan “dalam beberapa minit lagi.”

Dalam kenyataan, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) berkata: “Berdasarkan maklumat risikan dan keperluan operasi, pasukan IDF akan menjalankan operasi yang tepat dan bersasar terhadap Hamas di kawasan tertentu di Hospital Al-Shifa.”

“IDF termasuk pasukan perubatan dan penutur bahasa Arab, yang telah menjalani latihan khusus untuk mempersiapkan diri menghadapi persekitaran yang kompleks dan sensitif, dengan tujuan supaya tiada bahaya ditimbulkan terhadap orang awam.”

Israel sebelum ini berkata, Hamas mempunyai pusat arahan yang terletak di bawah hospital terbesar di Gaza itu. Tambahnya, Hamas turut menggunakan hospital serta terowong di bawahnya untuk menyembunyikan operasi ketenteraan dan menahan tebusan. Dakwaan-dakwaan ini dinafikan Hamas.

Pada Selasa, Amerika Syarikat berkata, perisikannya sendiri menyokong kesimpulan tersebut.

Lima minggu selepas Israel berikrar memusnahkan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan rentas sempadan, nasib Al-Shifa menjadi tumpuan kebimbangan antarabangsa disebabkan keadaan hospital itu yang semakin teruk.

Kakitangan perubatan berkata, hospital itu hampir tidak dapat berfungsi disebabkan serangan Israel dan kekurangan bahan api untuk menghidupkan penjana kuasa.

Tentera Israel melancarkan perang yang sengit terhadap pejuang Hamas sejak 10 hari lepas, sebelum mara ke pusat bandar Gaza dan sekitar Al-Shifa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.