Hospital Al-Shifa di Gaza tidak lagi berfungsi, kata WHO

Hospital Al-Shifa di Gaza tidak lagi berfungsi, kata WHO

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata pusat perubatan itu kekurangan bekalan elektrik dan air sejak tiga hari lalu.

Hospital Al-Shifa di Gaza tidak lagi beroperasi sebagai pusat perubatan susulan serangan Israel sejak 7 Okt lalu yang mengakibatkan lebih 11,100 kematian setakat ini. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Hospital Al-Shifa di Gaza tidak lagi beroperasi sebagai pusat perubatan, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Ahad.

“Malangnya, hospital terbabit tidak dapat berfungsi sebagai sebuah hospital lagi. Dunia sepatutnya tidak boleh berdiam diri di saat hospital yang sepatutnya menjadi tempat selamat, berubah menjadi tempat kematian dan kemusnahan,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Tedros di platform X.

Beliau berkata sejak tiga hari lalu, kemudahan itu kekurangan bekalan elektrik dan air serta capaian internet yang lemah, sekali gus menjejaskan keupayaannya untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan penting.

“Malangnya, jumlah kematian pesakit telah meningkat dengan ketara,” katanya sambil mengulangi gesaan gencatan senjata di Palestin.

Angka kematian akibat serangan Israel sejak 7 Okt kini melebihi 11,100, termasuk lebih 8,000 wanita dan kanak-kanak, menurut pejabat media kerajaan di Gaza pada Ahad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.