
Warga asing kini boleh memohon untuk melakukan lawatan perniagaan melalui platform “Invest Saudi” yang bergabung dengan Kementerian Pelaburan Saudi untuk memperoleh visa digital dikeluarkan Kementerian Luarnya.
Pemohon tidak lagi perlu ke pejabat perwakilan luar Arab Saudi untuk mendapatkan biometrik, dan visa itu mempunyai tempoh sah setahun, lapor Saudi Press Agency.
Kemudahan itu disediakan bagi meningkatkan pelaburan, lapor agensi itu memetik Mohammed Abahussain, setiausaha Kementerian Pelaburan bagi Perkhidmatan Pelabur Bersepadu.
Kelayakan e-visa diperluas untuk memasukkan negara disenaraikan dalam platform “Invest Saudi”, pemegang visa pelancong atau komersial sah dari Amerika Syarikat (AS), Britain atau mana-mana negara Schengen dan mereka yang mempunyai kediaman tetap di AS, Britain atau Kesatuan Eropah.
Pemastautin sah sekurang-kurangnya tiga bulan di negara anggota Majlis Kerjasama Teluk serta individu dilesenkan Kementerian Pelaburan Saudi dengan tiga visa segera setiap tahun boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan itu.