Majlis Keselamatan PBB berhimpun kali ke-6 bincang situasi Gaza

Majlis Keselamatan PBB berhimpun kali ke-6 bincang situasi Gaza

Majlis bersidang untuk sesi tergempar kali keenam sejak 7 Okt atas permintaan UAE dan China.

Bulan lepas, empat draf resolusi berbeza mengenai Gaza ditolak Majlis Keselamatan PBB. (Gambar AFP)
NEW YORK:
Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkumpul dalam sesi tertutup pada Isnin untuk membincangkan situasi di Gaza.

Majlis itu bersidang untuk sesi tergempar kali keenam sejak 7 Okt atas permintaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China, lapor Agensi Anadolu.

Majlis 15 anggota itu dijangka menerima taklimat daripada Setiausaha Agung PBB untuk Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Martin Griffiths serta Koordinator Khas PBB untuk Keamanan di Asia Barat Tor Wennesland.

Sebelum sesi itu, wakil tetap Gabon ke PBB Michel Xavier Biang membuat kenyataan kepada media mengenai ketidakupayaan Majlis Keselamatan untuk mencapai persetujuan.

Biang berkata, persaingan antara kuasa besar menjadi antara masalah paling asas selain ketidakupayaan untuk mencapai kata sepakat.

Beliau menekankan bahawa Gabon menyokong gencatan senjata kemanusiaan segera.

Bulan lepas, empat draf resolusi berbeza mengenai Gaza ditolak Majlis Keselamatan.

Sekurang-kurangnya 10,022 rakyat Palestin, termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Tentera Israel turut membunuh seramai 159 penduduk Palestin selain mencederakan 2,250 lagi dalam tempoh sama di Tebing Barat.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.