
“Lebih daripada 30 mangsa yang terkorban tiba di Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir Al-Balah dalam pembunuhan yang dilakukan oleh tentera penjajah di kem Al-Maghazi di pusat Semenanjung Gaza,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf Al-Qudra dalam satu kenyataan.
Hamas dalam satu kenyataan yang disiarkan di Telegram berkata tentera Israel secara langsung mengebom rumah penduduk, dan menambah kebanyakan mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.
“Serangan udara Israel terkena rumah jiran saya di kem Al-Maghazi, sebahagian rumah saya juga runtuh,” kata Mohammed Alaloul, 37, seorang wartawan yang bekerja untuk agensi berita Anadolu milik Turki.
Alaloul memberitahu AFP dua anak lelakinya Ahmed yang berusia 13 tahun, Ahmed, dan Qais, 4 tahun terbunuh dalam serangan tersebut, bersama dengan adik lelakinya. Isteri, ibu, dan dua kanak-kanak lain juga cedera.
Jurucakap tentera Israel berkata mereka sedang menyiasat sama ada pihaknya melakukan operasi di kawasan itu pada masa serangan berlaku.
Israel sebelum ini berikrar untuk menghancurkan Hamas sebagai tindak balas serangan kumpulan itu pada 7 Okt lalu ke atas komuniti dan pos tentera berdekatan sempadan Gaza, yang didakwa membunuh lebih daripada 1,400 mangsa kebanyakannya orang awam.
Lebih 240 pendatang Yahudi dan warga asing juga diculik dalam serangan itu.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lebih 9,480 penduduk Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam serangan tentera Israel.