Tentera Brazil dikerah ke lapangan terbang, pelabuhan perangi jenayah terancang

Tentera Brazil dikerah ke lapangan terbang, pelabuhan perangi jenayah terancang

Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva mengerahkan 3,700 tentera darat, udara, dan laut.

Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva menandatangani dekri lancar operasi bersepadu memerangi kumpulan militan dan penyeludupan dadah. (Gambar AP)
RIO DE JANEIRO:
Kerajaan Brazil mengerahkan angkatan tentera mengawal beberapa lapangan terbang dan pelabuhan di seluruh negara dalam usaha memerangi kumpulan jenayah militan dan penyeludupan dadah, lapor Xinhua.

Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva menandatangani dekri “melancarkan operasi bersepadu bagi memerangi jenayah terancang”, menurut kenyataannya di platform X.

Menurut dekri berkenaan, pasukan tentera akan membantu pasukan polis persekutuan di beberapa lapangan terbang dan pelabuhan di bandar Rio de Janeiro dan São Paulo.

Seramai 3,700 anggota tentera darat, udara, dan laut akan dikerah menyertai usaha itu.

Minggu lalu, sekurang-kurangnya 35 bas dibakar di barat Rio selepas seorang anggota kumpulan jenayah militan terkemuka terbunuh dalam operasi yang dijalankan pihak berkuasa.

Polis berkata, lelaki terbunuh itu merupakan anak saudara kepada ketua kumpulan jenayah militan Luis Antônio da Silva Braga, yang juga dikenali sebagai Zinho.

Polis menganggap insiden bas dibakar sebagai tindakan membalas dendam, dan gabenor tempatan berikrar memburu tiga ketua sindiket jenayah susulan kejadian itu.

Langkah kerahan tentera itu dijadual berlangsung sehingga Mei tahun depan dan boleh dilanjutkan jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.