‘Amuk’ berpistol, warga emas berusia 86 tahun ditahan di Jepun

‘Amuk’ berpistol, warga emas berusia 86 tahun ditahan di Jepun

Lelaki itu dipercayai mencederakan dua orang di sebuah hospital sebelum melarikan diri menaiki motosikal dan bersembunyi di pejabat pos bersama beberapa tebusan.

Anggota kecemasan dilihat di luar pejabat pos di mana Tsuneo Suzuki, 86, bersembunyi di Warabi. (Gambar AP)
SAITAMA:
Polis Jepun menahan seorang warga emas berusia 86 tahun yang menawan beberapa tebusan di sebuah pejabat pos selepas mencederakan dua individu dalam kejadian tembak di hospital sebelum itu.

Polis akhirnya menahan lelaki itu pada 10 malam selepas lapan jam susulan mengepung bangunan tiga tingkat di Warabi itu.

“Lelaki itu telah ditahan. Butiran akan diberikan kemudian,” kata jurucakap polis Saitama kepada AFP.

Pihak berkuasa mengesahkan penahanan itu tanpa butiran lanjut. Badan penyiar NHK menamakannya sebagai Tsuneo Suzuki, 86.

Akhbar Asahi Shimbun melaporkan polis menyerbu bangunan itu sebelum menahan lelaki itu dan merampas pistolnya.

Motif kejadian tidak diketahui.

Polis percaya Tsuneo orang sama yang mencederakan dua individu di hospital berdekatan sebelum melarikan diri menaiki motosikal.

Menurut laporan media, satu kebakaran di sebuah blok apartmen juga mungkin dikaitkan dengan Tsuneo.

Tsuneo mengunci dirinya dalam pejabat pos itu pada jam 2.15 petang dan dipercayai memiliki pistol, menurut pihak berkuasa.

Siaran televisyen menunjukkan seorang wanita berusia 20-an, dipercayai tebusan, keluar dari pejabat pos itu sebelum jam 7.30 malam selepas polis berunding dengan Tsuneo.

“Ini kejiranan aman. Saya tidak percaya perkara seperti ini berlaku,” kata penduduk, Tetsuo Sasaki, 70, kepada AFP.

Terdahulu, seorang doktor dan pesakit masing-masing dilaporkan cedera ringan selepas tembakan dilepaskan dari jalan ke arah hospital di Toda.

“Selepas jam 1 petang saya terdengar seorang wanita menjerit meminta tolong, manakala jururawat menyuruh saya tidak menghampiri tingkap dan menundukkan kepala,” kata seorang lelaki berusia 60-an yang berada di hospital itu kepada NHK.

“Sekitar jam 2 petang saya menjenguk dalam pejabat doktor dan melihat darah…Saya tidak mendengar tembakan, tetapi seorang jururawat berkata beliau terdengar dua tembakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.