Inkues serangan masjid Christchurch bermula di New Zealand

Inkues serangan masjid Christchurch bermula di New Zealand

Seramai 51 jemaah masjid ditembak mati pada 2019.

Timbalan ketua koroner Brigitte Windley memulakan inkues di Christchurch esok bagi menentukan fakta berkaitan kematian 51 mangsa terbabit. (Gambar AP)
WELLINGTON:
Keluarga 51 mangsa korban dalam serangan di dua masjid di Christchurch pada 2019 mengharapkan inkues yang akan bermula esok menjawab persoalan sama ada orang tersayang mereka mampu diselamatkan ketika kejadian itu.

Pelampau kulit putih, Brenton Tarrant menembak mati 51 jemaah masjid di dua masjid itu pada 15 Mac 2019 dalam kejadian tembak beramai-ramai terburuk di New Zealand.

Timbalan ketua koroner Brigitte Windley memulakan inkues di Christchurch esok bagi menentukan fakta berkaitan kematian mereka. Prosiding dijangka berterusan sehingga pertengahan Disember.

Maha Galal, jurucakap kumpulan “15 March Whanau Trust” yang mewakili ahli keluarga mangsa berkata “jawapan segera diperlukan”.

“Perkara paling penting adalah untuk memahami kebenaran,” kata Galal dalam kenyataan.

Keluarga mangsa “bersatu dalam usaha memahami, mendapat pencerahan sama ada orang tersayang mereka mampu diselamatkan (dalam kejadian itu),” katanya.

Inkues itu akan memeriksa kejadian berkenaan dari awal sernagan hingga peringkat soal siasat Tarrant oleh polis, termasuk tempoh respons polis serta perkhidmatan kecemasan ke tempat kejadian.

“Antara persoalan penting termasuk kenapa orang tersayang kami ditinggalkan di masjid itu tanpa sebarang tindakan untuk tempoh lama, dan polis tidak membenarkan kami atau sesiapapun membawa mereka keluar dari situ,” kata Galal.

“Kami mempercayai proses koroner dan representasi undang-undang kami untuk menjawab isu ini serta memberikan jawapan sewajarnya,” katanya.

Soalan lain untuk dipertimbangkan koroner termasuk adakah Tarrant dibantu sesiapa, selain sama ada tindak balas perubatan berbeza mungkin dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Satu lagi persoalan adalah sama ada pintu kecemasan di Masjid Al Noor tidak dapat dibuka pada hari kejadian.

Serangan dilaksanakan Tarrant, warga Australia yang juga jurulatih Gim, menggemparkan New Zealand dan dikecam seluruh dunia.

Selepas mengaku salah atas 51 tuduhan bunuh, 40 tuduhan cuba membunuh dan satu tuduhan keganasan, dia dipenjara seumur hidup tanpa parol pada Ogos 2020.

Tarrant malah menyiarkan serangan itu secara langsung di media sosial dan menerbitkan manifesto dalam talian sebelum melaksanakan serangan berkenaan.

Perdana menteri ketika itu, Jacinda Arden pantas mengetatkan undang-undang kawalan senjata api susulan kejadian itu selain meletakkan tekanan terhadap gergasi media sosial untuk menyekat ekstremisme dalam talian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.