7 polis cedera dalam insiden bom, tembakan di Tak Bai

7 polis cedera dalam insiden bom, tembakan di Tak Bai

Sebutir bom buatan sendiri seberat 20 kilogram telah diletupkan dan menyebabkan sebuah kedai emas musnah, kata polis Tak Bai.

Insiden letupan bom dan berbalas tembakan di Tak Bai Narathiwat, selatan Thailand menyebabkan sekurang-kurangnya tujuh anggota polis cedera. (Gambar AFP)
NARATHIWAT:
Sekurang-kurangnya tujuh anggota polis cedera dalam insiden letupan bom dan berbalas tembakan di Tak Bai Narathiwat, di selatan Thailand pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Tak Bai, Jarukit Sridech, berkata satu letupan bom berlaku di depan sebuah kedai emas, kira-kira 1.30 pagi (waktu tempatan).

“Sebutir bom buatan sendiri seberat 20 kilogram diletupkan dan menyebabkan kedai emas itu musnah.

“Sejurus itu, pos keselamatan polis Tak Bai yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian turut diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata. Insiden berbalas tembakan berlarutan hampir 30 minit.

“Tujuh anggota polis cedera. Polis turut menemukan ratusan kelongsong peluru di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita.

Jarukit berkata satu lagi insiden letupan bom turut dilaporkan berlaku kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pertama.

“Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Insiden itu berlaku beberapa hari sebelum ulang tahun ke-19 Tragedi Tak Bai yang menyaksikan 85 peserta protes maut.

Tragedi itu berlaku pada 25 Okt 2004 selepas peserta protes bertindak ganas apabila tentera melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah lebih 1,000 peserta, di luar Balai Polis Tak Bai.

Protes itu diadakan kerana membantah penahanan enam lelaki yang dituduh merompak senjata api milik kerajaan Thailand dan membekalkannya kepada pihak pemberontak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.