
WFP berkata bekalan makanan semakin berkurangan di gudang-gudang di kawasan itu, tetapi keadaan lebih ketara di kedai-kedainya.
“Keadaan di Gaza semakin teruk; keadaan kemanusiaan, tetapi juga dari segi keterjaminan makanan,” kata jurucakap WFP di Asia Barat Abeer Etefa kepada wartawan di PBB di Geneva menerusi pautan video dari Kaherah.
“Bekalan sedia ada komoditi makanan penting hanya cukup untuk dua minggu – dan itu di peringkat gudang,” katanya, dengan menambah gudang di Gaza City di utara wilayah itu, dan kedai-kedai menghadapi masalah menambah bekalan.
“Di dalam kedai, bekalan hanya tinggal untuk beberapa hari, mungkin empat atau lima hari saja.”
Israel mendakwa pejuang Hamas dari Gaza merempuh sempadan Israel pada 7 Oktober lalu dan membunuh lebih 1,400 orang, kebanyakannya orang awam. Sekurang-kurangnya 199 tebusan diambil Hamas atau kumpulan lain dalam serbuan itu.
Israel membalas dengan serakan udara di kawasan dikawal Hamas di Gaza, manakala puluhan ribu anggota tenteranya dikerahkan ke sempadan untuk serangan darat.
Israel mengarahkan penduduk di utara Gaza berpindah ke selatan wilayah itu sebagai persediaan serangan darat berkenaan.
Abeer berkata hanya satu daripada lima kilang tepung di Semenanjung Gaza masih beroperasi akibat masalah keselamatan dan ketiadaan bahan bakar.
“Jadi bekalan makanan semakin rendah dan orang ramai beratur berjam-jam untuk mendapatkan roti,” katanya.
Hanya lima daripada 23 kedai roti di Gaza yang dihubungi WFP masih beroperasi, katanya.
“Bekalan makanan di dalam Gaza benar-benar meruncing,” katanya.
Menurutnya, tiada penjarahan gudang WFP berlaku malah, katanya “lagipun apa yang ada di gudang berkenaan terlalu sedikit.”
Agensi bantuan menerbangkan bekalan ke lapangan terbang Arish di Mesir – kira-kira 20km dari lintasan Rafah ke Semenanjung Gaza.
Setakat ini Mesir menutup lintasan itu daripada bantuan dihantar masuk, atau warga asing yang cuba melarikan diri, kerana Israel berulang kali membedil kawasan itu di sebelah Palestin.
Abeer berkata WFP menghantar lebih 300 tan metrik makanan yang sama ada telah berada di lintasan Rafah, atau masih dalam perjalanan ke situ, yang dianggarkan cukup untuk memberi makan kepada 250,000 orang selama seminggu.
“Semua orang masih berharap kami dapat memasuki sempadan itu, dan kerana itulah lebih banyak bekalan sedang dihantar,” katanya.
“Kami menggesa akses tanpa halangan dan selamat untuk penghantaran bekalan kemanusiaan ke Gaza yang begitu diperlukan.”