
Fasa kedua pelepasan dijadualkan berterusan hingga 23 Okt, dengan anggaran jumlah pelepasan keseluruhan sebanyak 7,800 tan, hampir sama dengan jumlah fasa pertama.
Pelepasan harian dijangka sebanyak 460 tan, menurut Agensi Berita Yonhap memetik laporan media Jepun.
Pengendali loji, Tokyo Electric Power Co. merancang untuk melepaskan air yang disimpan dalam tangki selepas dirawat menerusi sistem penulenan khas dikenali sebagai Sistem Pemproses Cecair Lanjutan (ALPS) sejak kemusnahannya pada Mac 2011, melalui terowong laut yang memanjang sejauh 1km ke lautan.
ALPS boleh membuang 62 jenis bahan radioaktif, kecuali tritium yang boleh dikurangkan ke tahap keselamatan antarabangsa melalui pencairan dengan air laut.
Kerajaan Jepun, kerajaan wilayah Fukushima dan Tokyo Electric secara kerap menganalisis kepekatan tritium dalam air laut dan ikan di sekitar loji janakuasa nuklear itu sejak permulaan pelepasan pertama dan tidak melaporkan sebarang ketidaknormalan.
Pada Rabu, Tokyo Electric sekali lagi mengukur kepekatan tritium dalam air sisa yang dirawat dan dicairkan dan mendapati ia mencapai 87 becquerel seliter, lebih rendah daripada piawaian pelepasan.