
Ribut pertama musim ini dengan kelajuan angin mencecah 127km sejam membadai Capel Curig, sebuah kampung di Wales pada Rabu.
Angin kencang turut membadai Aberdaron di Wales, Glenanne di Ireland Utara dan Camborne di Cornwall.
Agnes turut mencetuskan siri amaran cuaca tahap kuning, dengan angin kencang dan laut bergelora dijangkakan di seluruh UK.
Seorang wanita terpaksa diselamatkan apabila keretanya terperangkap dalam banjir di County Londonderry, Ireland Utara.
Sebuah pesawat easyJet tidak dapat mendarat di Belfast akibat angin kuat, syarikat penerbangan itu memberitahu Belfast Telegraph.
Kira-kira 135 hartanah di Isles of Scilly, barat daya England mengalami gangguan bekalan elektrik, menurut National Grid.
Pakar meteorologi, Dan Stroud memberitahu agensi berita PA, angin kencang diramalkan mula reda di England dan Wales.
“Kami menjangkakan kemuncak ribut Agnes akan beransur reda dalam tempoh semalaman.”
Agnes bermula di Ireland, menyebabkan banjir dan gangguan lalu lintas, dengan pokok tumbang menghalang jalan raya, selain menjejaskan penerbangan serta perkhidmatan feri.