Jual alkohol haram ragut 17 nyawa di Iran, 4 ke tali gantung

Jual alkohol haram ragut 17 nyawa di Iran, 4 ke tali gantung

Negara itu mengharamkan penjualan dan pengambilan alkohol sejak revolusi Islam pada 1979.

Sekurang-kurangnya 210 warga Iran maut selepas minum alkohol haram semasa kemuncak pandemik Covid-19 kerana percaya ia boleh mencegah jangkitan virus itu. (Gambar AFP)
TEHRAN:
Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas empat individu kerana menjual alkohol haram tercemar yang meragut 17 nyawa dan menghantar berpuluh-puluh lagi ke hospital pada Jun, menurut badan kehakiman.

Iran melarang penjualan dan pengambilan alkohol sejak revolusi Islam pada 1979, menyebabkan penjualan alkohol seludup atau haram berleluasa, dengan ada yang dicemari metanol beracun.

Jun lalu, sekurang-kurangnya 17 maut dan 191 lagi dimasukkan ke hospital dengan gejala keracunan metanol selepas minum alkohol tercemar.

Jurucakap badan kehakiman, Massoud Setayeshi berkata 11 tertuduh didakwa terbabit rasuah berhubung pengedaran minuman keras beracun di wilayah Alborz, barat Tehran.

Daripada 11 tertuduh itu, empat dijatuhkan hukuman mati, manakala bakinya dihukum penjara satu hingga lima tahun, kata Setayeshi sambil menambah tertuduh boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Agung.

Jun lalu, pihak berkuasa menyerbu sebuah kilang kosmetik dan merampas lebih 6,000 liter alkohol haram.

Semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020, sekurang-kurangnya 210 warga Iran maut selepas mengambil alkohol beracun kerana percaya ia boleh mencegah jangkitan virus itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.