Sarjana Uyghur dipenjara seumur hidup di China

Sarjana Uyghur dipenjara seumur hidup di China

Kumpulan hak asasi berkata Rahile Dawut didakwa ‘membahayakan keselamatan negara’.

China didakwa melanggar hak asasi golongan minoriti etnik di Xinjiang. (Gambar AP)
BEIJING:
China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap seorang sarjana Uyghur wanita terkenal kerana “membahayakan keselamatan negara”, menurut sebuah kumpulan hak asasi berpangkalan di AS.

Dalam kenyataan, Dui Hua Foundation berkata Rahile Dawut, 57, gagal dalam rayuannya terhadap sabitan bertarikh Disember 2018 itu.

“Ini dipercayai kali pertama sumber boleh dipercayai dalam kerajaan China mengesahkan hukuman penjara seumur hidup,” kata kumpulan itu dalam kenyataan dikeluarkan minggu lalu.

Mahkamah China mempunyai kadar sabitan 99.9%, dan jarang membebaskan tertuduh.

Sebelum penahanannya, Rahile bertugas sebagai profesor di Xinjiang University College of Humanities, selain terkenal sebagai pakar antropologi kebudayaan dan ahli etnografi budaya Uyghur.

Beliau ditahan sejak Disember 2017 di Xinjiang, barat laut China, di mana Beijing dituduh melanggar hak asasi minoriti etnik di situ, khususnya golongan Uyghur.

“Hukuman itu… tragedi kejam, satu kehilangan besar untuk orang Uyghur dan sesiapa yang mementingkan kebebasan akademik,” kata John Kamm, pengarah eksekutif Dui Hua Foundation.

“Saya menggesa supaya beliau segera dibebaskan dan dikembalikan ke pangkuan keluarga.”

Rahile antara lebih 300 bijak pandai Uyghur yang ditahan atau dipenjara pihak berkuasa China sejak 2016, kata kumpulan itu.

Beliau bekerja dengan banyak institusi barat terkemuka termasuk Universiti Harvard dan Cambridge yang turut menggesa pembebasannya.

Sementara itu, anaknya Akeda Pulati yang tinggal di Seattle berkata: “Saya risaukan ibu setiap hari. Saya tak sanggup memikirkan bagaimana ibu yang tidak bersalah terpaksa menghabiskan hayatnya dalam penjara.

“China tunjukkanlah belas kasihan dan bebaskan ibu saya yang tidak bersalah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.