Cuba tahan 17 suspek rekrut anak muda jadi tentera upahan Rusia

Cuba tahan 17 suspek rekrut anak muda jadi tentera upahan Rusia

Penyeludup itu didakwa menarik anak muda berkhidmat untuk Rusia di tengah-tengah konflik Ukraine.

Rusia mula membenarkan warga asing menyertai pasukan tenteranya tahun lalu. (Gambar AP)
HAVANA:
Pihak berkuasa Cuba menahan 17 suspek atas tuduhan berkaitan sindiket pemerdagangan manusia yang didakwa menarik anak muda negara itu untuk berkhidmat dengan tentera Rusia di tengah-tengah konflik Ukraine.

Awal minggu ini, Cuba mendedahkan pihak berkuasanya sedang berusaha “meneutralkan dan membongkar” rangkaian itu, yang dikatakan beroperasi di Cuba dan Rusia.

“Hasil siasatan, 17 suspek ditahan setakat ini, antaranya penganjur dalaman aktiviti ini,” kata pegawai Kementerian Dalam Negeri Cuba, Cesar Rodriguez dalam sebuah program TV pada lewat Khamis.

Rodriguez tidak menamakan suspek terbabit, tetapi berkata ketua sindiket itu bergantung kepada dua individu tinggal di pulau terbabit untuk merekrut rakyat Cuba berperang bagi pihak Rusia di Ukraine.

Pendakwa Raya Jose Luis Reyes berkata, anggota sindiket itu boleh dipenjara sehingga 30 tahun, seumur hidup atau hukuman mati, bergantung kepada keseriusan dan jenis jenayah, merangkumi pemerdagangan manusia, berperang sebagai tentera upahan dan tindakan bermusuhan terhadap negara asing.

Rusia, yang mempunyai hubungan politik kukuh dengan Cuba yang ditadbir komunis, sekian lama menjadi destinasi penting bagi pendatang Cuba ingin melarikan diri daripada ekonomi tidak berkembang di tanah air.

Tahun lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin menandatangani dekri membenarkan warga asing menyertai perkhidmatan tenteranya untuk menerima kerakyatan melalui prosedur pantas.

Cuba berkata, ia tidak terbabit dalam perang di Ukraine dan menolak rakyatnya dijadikan tentera upahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.