Lapangan terbang UK tingkat keselamatan selepas bekas tentera lolos dari penjara

Lapangan terbang UK tingkat keselamatan selepas bekas tentera lolos dari penjara

Pengembara yang berlepas dari Lapangan Terbang Manchester mengadu terpaksa beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan keselamatan.

Pihak berkuasa Lapangan Terbang Heathrow meminta penumpang tidak tiba awal kerana berlaku kesesakan dan menyemak status penerbangan sebelum ke lapangan terbang. (Gambar AP)
MOSCOW:
Langkah keselamatan dipertingkatkan di beberapa lapangan terbang utama di London pada Khamis, ketika polis memburu seorang bekas tentera yang melarikan diri selepas disyaki terbabit dalam keganasan, lapor Sputnik.

Polis Metropolitan meminta orang ramai memberi maklumat untuk membantu mengesan Daniel Abed Khalife, 21, yang sedang menunggu perbicaraan di Penjara Wandsworth London atas tuduhan keganasan dan pelanggaran Akta Rahsia Rasmi.

Dia dipercayai melarikan diri pada Rabu dan masih bebas.

Pihak berkuasa Lapangan Terbang Heathrow berkata, hab udara itu beroperasi seperti biasa, tetapi meminta penumpang tidak tiba awal kerana berlaku kesesakan dan menyemak status penerbangan sebelum ke lapangan terbang.

“Disebabkan pemeriksaan keselamatan tambahan sedang dijalankan, masa menunggu penumpang yang berlepas mungkin lebih lama berbanding biasa,” kata pihak berkuasa lapangan terbang.

Jurucakap Lapangan Terbang Gatwick berkata: “Langkah keselamatan tambahan sedang dilaksanakan di London Gatwick dan lapangan terbang serta pelabuhan UK lain.”

Pengembara yang berlepas dari Lapangan Terbang Manchester mengadu di media sosial terpaksa beratur panjang untuk melepasi pemeriksaan keselamatan.

Jurucakap lapangan terbang itu berkata, pasukan keselamatan bekerja keras untuk memastikan keselamatan semua orang dan menjalankan pemeriksaan penting yang ditetapkan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.