
Safa Aeli, 30, ditahan pasukan keselamatan di kampung halaman keluarga Saqez di barat Iran dan dibawa ke lokasi tidak diketahui, menurut kumpulan hak asasi Hengaw memfokuskan Kurdish, Rangkaian Hak Asasi Manusia Kurdistan berpangkalan di Perancis dan pemantau protes 1500tasvir dalam kenyataan berasingan.
Hengaw berkata, pihak berkuasa Iran mengerahkan konvoi lima kenderaan dipenuhi anggota keselamatan menyerbu rumah Aeli, tanpa mengemukakan sebarang dokumentasi undang-undang.
Media berpangkalan di luar Iran melaporkan bandar Saqez di bawah pengawasan khusus menjelang ulang tahun itu, dengan hotel diarahkan tidak menerima orang luar dan kamera keselamatan baharu dipasang, termasuk di sekitar kubur Amini.
Penahanan Aeli menyusul tindakan aktivis mendakwa kerajaan Iran meningkatkan operasi menjelang ulang tahun kematian Amini, 22, pada 16 Sept ini, yang ditahan beberapa hari sebelum itu kerana didakwa melanggar peraturan ketat pakaian untuk wanita.
Protes selepas itu mengejutkan pihak berkuasa Islam Iran, tetapi kini reda disebabkan tindakan keras, di mana kumpulan hak asasi manusia menyatakan ratusan individu terbunuh dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memaklumkan ribuan orang ditahan.
Kumpulan kempen, termasuk Amnesty International, mendakwa Iran menahan dan menyoal siasat ahli keluarga mangsa korban dalam protes bagi memaksa mereka berdiam diri serta menghalang demonstrasi diadakan.
Aktivis berkata, individu ditahan dalam beberapa minggu ini termasuk Mashallah Karami, bapa Mohammad Mehdi Karami, 22, seorang daripada tujuh lelaki dihukum gantung dalam kes berkaitan protes setakat ini.