Pengeluaran beras di Indonesia dijangka turun 5% akibat El Nino

Pengeluaran beras di Indonesia dijangka turun 5% akibat El Nino

Agensi Meteorologi Indonesia meramalkan fenomena El Nino akan berlanjutan hingga awal 2024 berdasarkan ramalan hujan bulanan.

Agensi Makanan Kebangsaan Indonesia berkata, persediaan sedang dilakukan untuk mendapatkan bekalan beras pada Februari dan April, serentak PRU serta Hari Raya Aidilfitri. (Gambar Bernama)
JAKARTA:
El Nino dijangka menyebabkan pengeluaran beras domestik menurun sekitar 5%, menurut Agensi Makanan Kebangsaan Indonesia (NFA).

Bagi menangani isu ini, NFA bercadang mengeluarkan rizab makanan kerajaan dipegang agensi perolehan makanan negara, Bulog dan perusahaan milik kerajaan, ID Food.

Ketua agensi itu, Arief Prasetyo Adi berkata, Bulog kini memegang kira-kira 1.5 juta tan stok, dengan tambahan sekitar 400,000 tan.

“Kami berharap penurunan pengeluaran tidak melebihi 5%, tetapi kami sedia mengambil tindakan jika ia mencecah 7%,” katanya dalam kenyataan.

Program bantuan makanan itu menyumbang secara positif kepada kawalan inflasi bulan lepas, katanya sambil menambah persediaan sedang dijalankan untuk mendapatkan bekalan pada Februari dan April, serentak PRU dan Hari Raya Aidilfitri.

Agensi Meteorologi Indonesia, BMKG meramalkan fenomena El Nino akan berlanjutan hingga awal 2024 berdasarkan ramalan hujan bulanan.

Keadaan semasa menunjukkan lonjakan harga beras (GKP) mencecah julat 6,700 – 7,000 rupiah (RM1 = 3,276 rupiah) 1kg, manakala harga beras sangat bergantung kepada harga GKP.

Faktor lain yang mempengaruhi harga termasuk kos baja, perbelanjaan pengangkutan dan kos buruh.

“Walaupun memadankan harga tahun lepas mungkin mencabar, faktor utama terletak kepada pengeluaran, dan menjelang akhir tahun, kami menjangkakan trend menurun.”

Justeru, Arief menggesa semua pihak berkepentingan berkaitan terus mempercepatkan usaha meningkatkan pengeluaran domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.