Thaksin dijatuhi hukuman penjara 8 tahun

Thaksin dijatuhi hukuman penjara 8 tahun

Bekas PM Thailand itu dibawa ke Penjara Reman Bangkok untuk menjalani hukuman selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Mahkamah Agung menjatuhi hukuman itu tanpa kehadiran Thaksin Shinawatra, 74. (Gambar AP)
BANGKOK:
Mahkamah Agung Thailand pada Selasa menjatuhi hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin Shinawatra sekembalinya bekas perdana menteri itu ke negara ini selepas 15 tahun hidup dalam buangan.

Dalam kenyataan, Mahkamah Agung berkata hukuman itu dijatuhi tanpa kehadiran Thaksin.

Thaksin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana meluluskan pinjaman daripada Export-Import Bank of Thailand (Exim Bank) kepada kerajaan Myanmar untuk projek telekomunikasi.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun untuk kes berkaitan keputusan skim loteri kerajaan dan lima tahun penjara kerana mengubah kontrak bagi syarikatnya, SHIN Corp, dengan niat untuk memberi kelebihan kepada syarikat itu.

Hukuman dikurangkan kepada lapan tahun kerana dijalankan serentak.

Thaksin, 74, kemudian telah dibawa ke Penjara Reman Bangkok.

Sementara itu, sekumpulan penyokong Thaksin berkumpul di luar pekarangan penjara untuk melihat bekas perdana menteri itu.

Terdahulu, Thaksin yang kembali menjejakkan kaki di Thailand buat kali pertama sejak 2008, tiba di terminal jet peribadi Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang kira-kira 9 pagi (waktu tempatan).

Anak perempuannya, Paetongtarn, yang juga seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai memuat naik gambar Thaksin bersama ahli keluarganya dan tujuh cucunya di laman sosial Facebook.

“Selamat kembali ke Thailand ‘daddy’.

“Bapa telah kembali ke Thailand dan telah menjalani proses undang-undang yang sepatutnya,” tulisnya.

Kepulangan Thaksin bertepatan dengan pengundian untuk memilih perdana menteri baharu pada Selasa, tiga bulan selepas PRU 14 Mei.

Parti Pheu Thai, sebuah parti yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Thaksin, mengetuai gabungan 11 parti, termasuk dua parti yang disokong tentera dalam usaha untuk membentuk kerajaan dan menamatkan kemelut politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.