
Perkara itu yang kini dalam siasatan, berkait kabel rahsia dihantar ke Islamabad oleh duta Pakistan di Washington pada awal tahun lalu yang didakwa didedahkan kepada umum oleh Imran.
Bekas pemain kriket berusia 70 tahun itu mendakwa kabel berkenaan sebahagian daripada konspirasi AS untuk mendesak tentera Pakistan supaya menggulingkannya dalam undian tidak percaya parlimen pada 2022 kerana beliau telah melawat Moscow sebelum Rusia melancarkan serangan terhadap Ukraine.
Washington dan tentera Pakistan masing-masing menafikan dakwaan itu.
Imran kini menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi tuduhan rasuah dan dilarang menceburi politik selama lima tahun.
“Siasatan kami menghimpunkan bukti bagi digunakan di mahkamah terhadap Imran Khan berkait tuduhan membocorkan rahsia rasmi,” kata sumber keselamatan yang bertanggungjawab dalam siasatan itu kepada Reuters.
Satu daripada tiga pembantu yang turut dinamakan dalam kes itu, bekas Menteri Luar Shah Mehmood Qureshi, ditahan pada Sabtu dan kini dalam tahanan Agensi Siasatan Persekutuan selama empat hari.
Sabitan mengikut Akta Rahsia Rasmi Pakistan boleh membawa hukuman penjara antara dua hingga 15 tahun, atau hukuman mati.