Hantar risin kepada Trump, wanita dipenjara 22 tahun

Hantar risin kepada Trump, wanita dipenjara 22 tahun

Pascale Cecile Veronique Ferrier yang memiliki kerakyatan Kanada dan Perancis, mengaku bersalah awal tahun ini.

Pascale Cecile Veronique Ferrier mengaku membuat risin itu di rumahnya di Kanada. (Gambar Pejabat Syerif Daerah Hidalgo/AP)
WASHINGTON:
Seorang wanita dihukum penjara kira-kira 22 tahun pada Khamis kerana menghantar surat ugutan mengandungi risin pada September 2020 kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump di White House.

Pascale Cecile Veronique Ferrier, 55, yang memiliki kerakyatan Kanada dan Perancis, mengaku bersalah awal tahun ini. Dia menghantar surat berisi risin kepada Trump dan lapan pegawai penguat kuasa Texas, kata Jabatan Kehakiman AS (DoJ) dalam kenyataan

Sampul surat yang dialamatkan kepada Trump itu dipintas kemudahan pengisihan surat White House di Washington pada September 2020, di mana kakitangan Perkhidmatan Pos AS menandakannya sebagai mencurigakan dan menghubungi FBI, menurut afidavit FBI yang difailkan kemudian bersama dokumen pertuduhan.

Ferrier ditahan dua hari kemudian di sempadan Kanada-AS antara Buffalo dan Fort Erie, Ontario.

Pendakwa raya berkata, wanita itu mengaku membuat risin terbabit di rumahnya di Quebec, Kanada.

Risin ialah racun maut yang diperbuat daripada kacang kastor.

Hukuman penjara selama 262 bulan akan disusuli pembebasan diawasi seumur hidup, kata DoJ pada Khamis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.