
Ketua Polis Pattani, Archan Chansiri berkata pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah dipercayai tempat persembunyian dua anggota militan di Kampung Koh Morkaeng, Nong Chik, kira-kira 3 pagi (waktu tempatan).
“Kami telah berusaha memujuk dua lelaki yang bersembunyi dalam rumah terbabit untuk menyerah diri namun gagal, malah mereka melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan ketika cuba melarikan diri.
“Insiden berbalas tembakan berlaku kira-kira 10 minit. Apabila keadaan reda, kami menemukan satu mayat di perkarangan rumah.
“Satu lagi insiden berbalas tembakan berlaku kira-kira 10.30 pagi (waktu tempatan). Pasukan keselamatan menemukan satu lagi mayat di tingkat dua rumah itu,” katanya.
Beliau menambah bahawa kedua-dua lelaki warga Thailand berusia 33 dan 37 tahun itu mempunyai tujuh waran tangkap di Pattani membabitkan kes tembakan dan serangan bom.