Thailand lapor kematian pertama cacar monyet

Thailand lapor kematian pertama cacar monyet

Lelaki berusia 34 tahun itu dimasukkan ke hospital di wilayah Chon Buri pada 11 Julai dan disahkan menghidap cacar monyet seminggu kemudian.

Sejumlah 189 kes cacar monyet dilaporkan di Thailand setakat ini, termasuk 28 warga asing. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Thailand pada Isnin melaporkan kematian pertama cacar monyet melibatkan seorang lelaki yang dijangkiti HIV dan sifilis, menurut pegawai kanan kesihatan.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Tares Krassanairawiwong berkata, lelaki berusia 34 tahun itu dimasukkan ke hospital di wilayah Chon Buri pada 11 Julai dan disahkan menghidap cacar monyet seminggu kemudian.

Beliau berkata, lelaki itu dibenarkan keluar dari hospital selepas berminggu-minggu menjalani rawatan, tetapi dimasukkan semula ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura di wilayah Nonthaburi pada 9 Ogos selepas mengalami kesukaran bernafas dan keletihan.

“Doktor mendapati lelaki itu mempunyai ruam di seluruh badannya, selain jangkitan paru-paru dan otak. Beliau juga mengalami masalah kekurangan imun yang teruk.

“Pesakit menerima ubat di hospital, tetapi keadaannya semakin teruk. Beliau meninggal dunia pada 11 Ogos,” katanya.

Dr Tares berkata, terdapat sejumlah 189 kes cacar monyet dilaporkan di Thailand setakat ini, termasuk 28 warga asing. Tambahnya, 82 daripada mereka dijangkiti HIV.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.