Kerajaan Colombia, pemberontak adakan gencatan senjata 6 bulan

Kerajaan Colombia, pemberontak adakan gencatan senjata 6 bulan

Jawatankuasa terdiri daripada wakil kerajaan, ELN dan masyarakat sivil akan menyelaraskan proses damai dalam beberapa bulan akan datang.

Sebahagian kawasan di Colombia masih berada kawalan kumpulan pemberontak atau organisasi jenayah lain. (Gambar AP)
BUENOS AIRES:
Kerajaan Colombia dan kumpulan gerila berhaluan kiri ELN sepakat untuk mengadakan gencatan senjata bermula Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Satu jawatankuasa terdiri daripada wakil kerajaan, ELN dan masyarakat sivil bermesyuarat di Bogota untuk memulakan proses itu.

Jawatankuasa itu akan menyelaraskan proses damai dalam beberapa bulan akan datang.

“Kami tidak akan meninggalkan meja rundingan sehingga konflik bersenjata selesai,” kata ketua perunding kerajaan Otty Patino.

Sementara itu, perunding ELN Maria Consuelo Tapias berkata, jawatankuasa itu perlu untuk mengatasi keganasan politik dan membina demokrasi baharu.

Colombia dicengkam perang saudara selama 52 tahun membabitkan pemberontak, tentera berhaluan kanan dan pasukan separa tentera, menyebabkan 220,000 orang terbunuh dan jutaan lagi hilang tempat tinggal.

Keadaan keselamatan di Colombia bertambah baik berikutan perjanjian damai pada 2016 antara kerajaan dan kumpulan pemberontak terbesar, FARC.

Namun, sebahagian kawasan kekal di bawah kawalan kumpulan pemberontak atau organisasi jenayah lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.