Pemandu mabuk punca kebakaran hutan di Greece

Pemandu mabuk punca kebakaran hutan di Greece

Polis berkata kereta yang dipandu lelaki itu terbabas ke dalam semak sebelum terbakar hingga merebak ke hutan.

Seluruh pasukan bomba dan sukarelawan, pesawat pemadam kebakaran serta helikopter dikerahkan untuk mengawal kebakaran hutan di Pulau Chios, Greece. (Gambar Greekcitytimes)
ATHENS:
Seorang pemandu mabuk yang merosakkan keretanya pada awal pagi Isnin telah menyebabkan kebakaran besar di Pulau Chios, Greece lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik stesen penyiar kerajaan ERT.

Pemandu itu hilang kawalan terhadap kenderaannya dan merempuh semak di bahu jalan pada awal pagi, lapor ERT. Enjin kereta itu kemudiannya terbakar.

Api merebak dengan cepat ke hutan berhampiran di bahagian barat laut pulau itu. Seluruh pasukan bomba dan sukarelawan pulau, pesawat pemadam kebakaran serta helikopter – terpaksa dikerahkan untuk mengawal kebakaran.

Selain itu, dua kampung telah dikosongkan dan kebakaran hanya dapat dikawal pada waktu tengah hari.

Pemandu itu ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk dan kini berdepan pertuduhan tambahan melakukan kebakaran secara cuai yang dibawa oleh pejabat pendakwa raya di pulau Aegean, menurut laporan media.

Menurut pihak berkuasa, sikap cuai telah menjadi punca utama kebanyakan kebakaran di Greece.

Dalam empat minggu lalu, menurut anggaran awal kerajaan, sekurang-kurangnya 43,000 hektar hutan, belukar, dan tanah pertanian telah musnah akibat kebakaran di seluruh Greece.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.