Junta Myanmar lanjut darurat, kali ke-4 sejak rampas kuasa

Junta Myanmar lanjut darurat, kali ke-4 sejak rampas kuasa

Darurat yang sepatutnya berakhir pada 31 Julai, dilapor dilanjutkan selama 6 bulan lagi.

Pasukan tentera yang dikenali sebagai Tatmadaw memerintah Myanmar sejak melancarkan rampasan kuasa pada 1 Feb 2021.
ISTANBUL:
Junta tentera di Myanmar melanjutkan tempoh darurat buat kali keempat sejak rampasan kuasa pada 2021.

Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara Myanmar mengumumkan bahawa darurat yang sepatutnya berakhir pada 31 Julai, dilanjutkan selama enam bulan lagi, lapor Agensi Anadolu memetik laman sesawang Myanmar Now.

Kali terakhir junta melanjutkan darurat adalah pada Februari lepas.

Majlis itu juga membincangkan pilihan raya yang tertangguh di negara Asia Tenggara itu.

Pasukan tentera yang dikenali sebagai Tatmadaw, melancarkan rampasan kuasa pada 1 Feb 2021, menggulingkan kerajaan Liga Kebangsaan untuk Demokrasi dan memenjarakan barisan kepimpinannya, termasuk Aung San Suu Kyi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 1.5 juta orang hilang tempat tinggal dalam tempoh dua tahun lepas, manakala lebih lima juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan di Myanmar.

Sekurang-kurangnya 2,890 orang maut di tangan tentera, manakala 767 individu ditahan sejak tentera mengambil alih kuasa, menurut data PBB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.