Iraq tahan suspek IS bunuh ribuan kadet

Iraq tahan suspek IS bunuh ribuan kadet

Suspek dikenali sebagai Abdelkhalek Khazaal Soltan ditahan dalam operasi di Sulaimaniyah.

Ekstremis IS menembak mati kadet Kem Speicher satu per satu sebelum mencampakkan mayat mereka dalam kubur besar. (AFP pic)
BAGHDAD:
Iraq menahan seorang suspek berkait kes pembunuhan beramai-ramai sehingga 1,700 kadet dalam tahanan pada 2014, kata pihak berkuasa.

Dalam kejadian itu, anggota kumpulan ekstremis berkenaan menawan akademi tentera udara di Kem Speicher di mana ribuan kadet menjalani latihan. Tahanan Kristian dan Syiah diasingkan sebelum ditembak mati satu per satu dan mayat mereka dicampakkan dalam kubur besar atau di Sungai Tigris.

Kejadian itu disifatkan antara jenayah perang terburuk oleh kumpulan Islamic State.

Kementerian dalam negeri mengenal pasti suspek sebagai Abdelkhalek Khazaal Soltan, yang ditahan dalam operasi bersama melibatkan perkhidmatan risikan persekutuan serta polis antikeganasan di Sulaimaniyah.

Jurucakap kementerian, Jeneral Saad Maan mendakwa Abdelkhalek “menyertai IS pada 2013 sebelum mengambil bahagian dalam beberapa operasi yang menyasarkan pasukan keselamatan, serta pembunuhan beramai-ramai di Kem Speicher.”

Kejadian itu dikecam masyarakat dunia dan menyebabkan ribuan sukarelawan berfahaman Syiah memerangi kumpulan militan berkenaan, yang berakhir dengan kekalahannya pada Disember 2017.

Mahkamah di Iraq menjatuhi hukuman mati terhadap puluhan individu yang didapati bersalah terlibat dalam kejadian itu.

Pada Januari, 14 orang dihukum mati kerana peranan dimainkan dalam kejadian berkenaan. Seramai 36 orang turut dihukum gantung pada 2016 kerana disabitkan melaksanakan pembunuhan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.