
Penunjuk perasaan memperhebat tindakan, yang kini memasuki minggu ke-29, menjelang sesi undian terakhir mengenai rang undang-undang mengehadkan kuasa mahkamah dalam menyemak keputusan dan pelantikan kerajaan.
Undian itu dijangka dibentangkan pada Isnin.
Di Baitulmaqdis, kira-kira 35,000 penunjuk perasaan berarak sejauh 70km dari Tel Aviv dan berkumpul di sekitar Parlimen dan bangunan kementerian lain.
Pada petang Sabtu, pasukan simpanan tentera Israel mengumumkan pada sidang media bahawa mereka mempunyai lebih 10,000 tandatangan yang enggan hadir bertugas.
Selama berbulan-bulan sejak kerajaan mengumumkan rancangan merombak sistem kehakiman, media Israel melaporkan peningkatan pembelotan tentera simpanan, menimbulkan kebimbangan bahawa keadaan ini boleh menjejaskan kesediaan tentera.
Akhbar tempatan turut melaporkan ketua kesatuan buruh terbesar Israel akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi memutuskan sama ada akan melancarkan mogok umum di negara itu.
Penyokong kerajaan dijangka mengadakan protes besar-besaran pada Ahad untuk mempertahankan reformasi kehakiman.
Netanyahu menegaskan pembaharuan itu perlu bagi mengehadkan sistem kehakiman, yang menjadi terlalu berkuasa sejak beberapa dekad kebelakangan ini.
Mahkamah Agung juga didakwa sering campur tangan dalam isu politik yang sepatutnya ditentukan Parlimen.
Penunjuk perasaan mendakwa pembaharuan itu akan melemahkan mahkamah dan memberi kuasa tanpa had kepada pakatan pemerintah.