Kapal karam: Usaha selamat 600 kontena giat dilaksana di Kaohsiung

Kapal karam: Usaha selamat 600 kontena giat dilaksana di Kaohsiung

Setakat ini hanya 26 kontena berjaya diperoleh semula.

Kapal Angel yang berlabuh pada 4 Julai membawa 600 kontena karam selepas dinaiki air pada 20 Julai. (Gambar Taiwan International Ports Corporation)
TAIPEI:
Usaha mendapatkan semula kira-kira 600 kontena jatuh dalam laut selepas sebuah kapal karam di pelabuhan Kaohsiung giat dilakukan, menurut Taiwan International Ports Co. cawangan Kaohsiung.

Syarikat itu memaklumkan mereka bekerjasama dengan kerajaan Bandar Kaohsiung, Pentadbiran Pengawal Pantai, Biro Pelabuhan Kaohsiung, dan Agensi Perikanan serta 17 kapal telah dihantar pada Sabtu untuk mendapatkan semula kontena terbabit, yang kebanyakkannya dilihat terapung di perairan di kawasan Linyuan dan Daerah Donggang, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Walaupun dijangka mengambil empat hingga lima hari untuk mengeluarkan semua kontena, kemajuan bergantung kepada keadaan laut, menurut syarikat itu yang telah menghantar 39 bot sejak 20 Julai, selepas kapten kapal Angel mengeluarkan isyarat kecemasan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari Sabtu, hanya 26 kontena yang berjaya diperoleh semula.

Terdapat laporan mengenai kontena lain menghalang bot nelayan tempatan dan merosakkan peralatan menangkap ikan.

Kapal Angel, pada mulanya berlabuh kira-kira 5km dari pantai pada 4 Julai, mula dinaiki air pada 20 Julai, sebelum kapten memutuskan agar semua 19 anak kapal meninggalkan kapal menggunakan bot keselamatan.

Kapal itu tenggelam sekitar tengah malam, hari berikutnya, menurut syarikat itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.