Nepal larang penerbangan helikopter ‘tak penting’

Nepal larang penerbangan helikopter ‘tak penting’

Ini menyusul nahas di wilayah Everest yang meragut enam nyawa.

Sebuah helikopter membawa mayat mangsa nahas helikopter mendarat di Kathmandu, Nepal. (AP Photo/Niranjan Shrestha)
KATHMANDU:
Pengawal selia penerbangan Nepal melarang helikopter melakukan penerbangan “tidak penting”, termasuk untuk menyaksikan pemandangan, selama dua bulan selepas nahas maut di wilayah Everest yang meragut enam nyawa.

Selasa lalu, lima pelancong Mexico dan seorang juruterbang Nepal maut, selepas sebuah helikopter kecil dikendalikan syarikat swasta Manang Air terhempas ketika pulang daripada sesi meninjau puncak Himalaya, termasuk Gunung Everest.

“Penerbangan tidak penting seperti penerbangan gunung, operasi muatan luar dan menabur bunga oleh helikopter dihadkan sehingga September,” kata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal (CAAN) menerusi Twitter pada lewat malam tadi.

Nepal yang sedang berdepan musim tengkujuh dari Jun hingga September, sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi mencari punca nahas itu.

Kemalangan udara kerap berlaku di Nepal yang mempunyai lapan daripada 14 puncak gunung tertinggi di dunia, termasuk Gunung Everest, kerana banyak syarikat penerbangan terbang ke lapangan terbang kecil di kawasan bukit terpencil dan berdekatan puncak diselubungi awan.

Januari lalu, sebuah pesawat terhempas dekat bandar pelancongan, Pokhara yang meragut 71 nyawa. Ia merupakan nahas udara terburuk di Nepal dalam tempoh 30 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.