
Pengawal Revolusi Iran menembak jatuh pesawat Ukraine International Airlines itu pada 8 Januari 2020 sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Tehran dalam kejadian yang disifatkan pegawai Iran sebagai “kesilapan dahsyat”.
Dalam permohonan kepada ICJ, empat negara itu berkata Iran melanggar tanggungjawab terhadap Konvensyen Montreal yang bertujuan menjamin keselamatan penumpang udara.
Menurut mereka, Iran gagal mengambil setiap langkah praktikal bagi menghalang penembakan penerbangan PS752, selain gagal melaksanakan siasatan dan pendakwaan saksama, telus dan adil.
Kebanyakan mangsa yang maut adalah rakyat empat negara berkenaan, yang mewujudkan kumpulan penyelaras bagi memastikan kebertanggungjawaban Iran.
Iran berkata tenteranya secara tidak sengaja menembak jatuh pesawat Boeing 737 itu, ketika hubungan tegang antara Tehran dan Washington. Laporan akhir dikeluarkan pada 2021 mendakwa radar yang disalah arah serta kesilapan di pihak pengendali pertahanan udara disifatkan sebagai punca kejadian.
Kanada ketika itu berkata laporan berkenaan “langsung tidak menjawab soalan kritikal mengenai apa sebenarnya berlaku”.
Ukraine pula menyifatkannya cubaan sinis pihak berkuasa Iran untuk menutup punca sebenar kejadian yang didakwa disengajakan.