Amazon lancar van penghantaran elektrik pertama di Eropah

Amazon lancar van penghantaran elektrik pertama di Eropah

Van elektrik itu terlebih dahulu akan dilancarkan di Munich, Berlin dan Dusseldorf, Jerman.

Amazon bercita-cita mempunyai 100,000 kenderaan penghantaran elektrik Rivian di jalan raya seluruh dunia menjelang 2030. (Gambar Facebook)
BERLIN:
Van penghantaran elektrik buatan khas baharu Amazon akan membuat penampilan di jalan raya Eropah tidak lama lagi, dengan kenderaan pertama dilancarkan di Jerman, umum syarikat itu pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Van elektrik itu terlebih dahulu akan dilancarkan di Munich, Berlin dan Dusseldorf.

Syarikat gergasi e-dagang itu mahu mempunyai 100,000 kenderaan penghantaran elektrik Rivian di jalan raya di seluruh dunia menjelang 2030, membantu menjimatkan berjuta-juta tan metrik pelepasan karbon setahun.

Amazon mula mengambil bahagian dalam syarikat kereta elektrik itu pada 2019.

Di Amerika Syarikat, van kurier Rivian diperkenalkan ke dalam armada Amazon tahun lepas, dengan lebih daripada 3,000 kenderaan digunakan setakat ini.

Amazon telah menguji penghantaran dengan kenderaan pra-pengeluaran Rivian di Eropah sejak tahun lepas. Versi van yang lebih pendek dan sempit kini dibangunkan untuk bandar-bandar Eropah, kata Rivian.

Tahun lepas, Amazon mengumumkan rancangannya melabur lebih daripada €1 bilion (USD1.09 bilion) untuk membekalkan rangkaian pengangkutan Eropah dan mengurangkan pelepasan karbon pada tahun-tahun akan datang, termasuk lebih daripada €400 juta di Jerman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.