
Indonesia salah satu negara yang paling banyak mengeksport tenaga kerja di Asia Tenggara, dengan ratusan ribu rakyatnya dari kawasan paling miskin meninggalkan negara itu menerusi laluan tidak rasmi demi mencari rezeki.
Beberapa kes mengejutkan mengetengahkan isu pemerdagangan manusia di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan polis mewujudkan pasukan petugas pemerdagangan manusia bulan ini bagi meningkatkan usaha mengekang eksploitasi rakyatnya.
Jurucakap polis kebangsaan Ahmad Ramadhan memberitahu AFP, pihak berkuasa menyelamatkan 1,553 mangsa dalam tempoh dua minggu lalu sebelum mereka sempat diseludup ke luar negara.
“Dalam tempoh singkat, kami berjaya menyelamatkan mereka, tetapi ramai lagi yang telah meninggalkan Indonesia,” katanya.
Antara 5 hingga 18 Jun, polis menahan 494 suspek manakala lima penyeludup utama masih diburu, katanya.
Ramai mangsa diselamatkan dari tempat persembunyian di mana mereka ditempatkan sebelum diperdagangkan sebagai pembantu rumah, anak kapal atau pelacur, malah ada antaranya juga kanak-kanak.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, antara 100,000 hingga sejuta orang dijual sebagai pelacur atau dipaksa bekerja setiap tahun di Indonesia.
Negara dunia semakin bimbang susulan penipuan menerusi internet di rantau ini yang pekerjanya adalah mangsa pemerdagangan manusia selepas ditipu atau dipaksa mempromosikan pelaburan crypto palsu.
Pemerdagangan manusia juga masalah domestik di Indonesia. Tahun lepas sekurang-kurangnya 57 orang diselamatkan selepas dikurung di sebuah ladang sawit di Sumatera Utara, tahun lalu.