Rusia tempatkan senjata nuklear di Belarus bulan depan

Rusia tempatkan senjata nuklear di Belarus bulan depan

Persiapan di kemudahan berkaitan akan diselesaikan pada 7 dan 8 Julai sebelum pemindahan senjata nuklear dilaksanakan, kata Presiden Rusia Vladimir Putin.

Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan pada Mac bahawa beliau akan memindahkan senjata nuklear Rusia ke negara sekutu dan bekas negara Soviet, Belarus. (Gambar AFP)
MOSCOW:
Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat mengumumkan niatnya untuk menempatkan senjata nuklear taktikal di Belarus mulai awal Julai.

Putin berkata persiapan di kemudahan berkaitan akan diselesaikan pada 7 dan 8 Julai sebelum pemindahan senjata nuklear dilaksanakan.

Kenyataan ini dibuat selepas beliau bertemu Presiden Belarus Alexander Lukashenko, lapor dpa, memetik agensi berita Rusia, TASS.

Ini bermakna pemindahan akan dibuat sebelum persidangan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Lithuania, yang bersempadan dengan Belarus.

Persidangan Nato di ibu negara Lithuania, Vilnius, akan berlangsung pada 11 dan 12 Julai.

Putin mengumumkan pada 25 Mac bahawa beliau akan memindahkan senjata nuklear Rusia ke negara sekutu dan bekas negara Soviet, Belarus.

Beliau membenarkan tindakan ini sambil menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah menyimpan senjata nuklear di Eropah, termasuk di Jerman, sejak bertahun-tahun.

Jika rancangan Moscow dilaksanakan, Belarus akan menerima peluru berpandu Iskander, buat kali pertama sejak 1990-an, selepas kejatuhan Kesatuan Soviet.

Menurut laporan TASS, beberapa pesawat pejuang Belarus juga telah diubah suai bagi mengendalikan senjata baharu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.