Arab Saudi giat usaha laksana pelan operasi haji 2023

Arab Saudi giat usaha laksana pelan operasi haji 2023

Persatuan Am Khidmat Kenderaan Arab Saudi menyediakan kira-kira 18,000 bas dan 25,000 pemandu dalam persediaan memenuhi keperluan pengangkutan jemaah haji.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, pada awal tahun ini mengumumkan negara itu sedia menerima dua juta jemaah pada musim haji tahun ini.
MADINAH:
Arab Saudi mempergiatkan usaha pelaksanaan pelan operasi haji 2023 yang dimulakan sejak hujung Mei lalu selaras jangkaan kedatangan dua juta jemaah tahun ini.

Sehubungan itu, Persatuan Am Khidmat Kenderaan Arab Saudi mengumumkan menyediakan kira-kira 18,000 bas dan 25,000 pemandu dalam persediaannya memenuhi keperluan pengangkutan jemaah haji musim ini.

Dalam kenyataan kepada Agensi Berita Arab Saudi (SPA), pengarah cawangan persatuan itu di Madinah, Mazen Tharwat berkata penghantaran pertama jemaah antarabangsa yang tiba di Madinah dan menuju Makkah bermula 6 Zulhijjah (26 Mei), dengan 26 bas.

“Jumlah ini terus meningkat. Statistik setakat Rabu menunjukkan kira-kira 700 bas telah digerakkan untuk membawa lebih 30,000 jemaah ke Makkah”, katanya.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Tawfiq Fawzan Al-Rabiah, pada awal tahun ini mengumumkan negara itu sedia menerima dua juta jemaah pada musim haji tahun ini, lapor SPA.

Kluster Kesihatan Madinah pada semalam dilaporkan turut meningkatkan kapasiti katil pesakit di pusat rawatan King Salman bin Abdulaziz Medical City dan Hospital King Fahad di sini kepada 22% sebagai persiapan menghadapi peningkatan jumlah jemaah yang datang ke Madinah tahun ini.

Prasarana kesihatan di Madinah bagi musim haji kali ini meliputi sembilan hospital besar, masing-masing tiga pusat rawatan kecemasan, pusat pengendalian kesihatan di pelabuhan-pelabuhan utama, pusat kesihatan bermusim dan pasukan medik bergerak untuk menyantuni jemaah haji.

Sementara itu, Perbandaran Madinah menyatakan lebih 9,900 petugas digerakkan bagi membantu mengawal kualiti dan keselamatan makanan selain memastikan tahap kebersihan dan sanitasi berada pada tahap tertinggi.

Ia termasuk memantau operasi pasar awam, pusat komersial, kafe, restoran dan dapur katering.

Statistik terbaharu dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menunjukkan sejumlah 434,980 jemaah haji pelbagai kewarganegaraan sudah memasuki Madinah setakat 7 Jun, menerusi laluan udara dan darat untuk melaksanakan ibadat itu tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.