Putin tak lemah selepas lancar perang, kata risikan Jerman

Putin tak lemah selepas lancar perang, kata risikan Jerman

Ketua perkhidmatan perisikan asing Jerman BND, Bruno Kahl berkata Rusia mampu melancarkan perang dalam jangka masa panjang di Ukraine.

Rusia bersedia berperang dengan Ukraine dalam tempoh lama dengan merekrut askar baharu, menambah persenjataan termasuk bekalan peluru. (Gambar AP)
BERLIN:
Tiada tanda menunjukkan Presiden Rusia Vladimir Putin semakin lemah, selepas lebih setahun pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik perkhidmatan rahsia Jerman.

Tiada kerapuhan dalam sistem Putin, kata ketua perkhidmatan perisikan asing Jerman BND, Bruno Kahl, di Akademi Persekutuan untuk Dasar Keselamatan (BAKS) di Berlin.

Rusia masih dalam kedudukan untuk “melancarkan perang dalam jangka masa panjang” menerusi askar baharu direkrut, kata Kahl. Perkembangan itu juga terpakai untuk persenjataan dan peluru.

Ditanya bila BND mengetahui dengan lebih tepat Rusia akan menyerang Ukraine, Kahl berkata: “Kira-kira 14 hari sebelum perang bermula, kami mengesan fenomena yang tidak boleh ditafsirkan dengan cara lain.”

Rusia melancarkan pencerobohan berskala penuh, pada 24 Feb 2022.

Bagaimanapun, Kahl menolak kritikan bahawa perkhidmatan perisikan di Amerika Syarikat dan Britain menjangkakan serangan lebih awal daripada BND, dengan mengatakan perkhidmatan perisikan itu meramalkan kebarangkalian perang dengan kukuh berdasarkan pemerhatian mereka.

Sebaliknya, BND menekankan bahawa keputusan untuk menyerang akhirnya akan dibuat oleh Putin. Pemimpin Kremlin membuat keputusan itu bergantung kepada banyak perkara, “yang tidak terdiri daripada mengira peluru berpandu atau kereta kebal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.