Kos hidup tinggi, ramai warga Australia kini hidup miskin, menurut tinjauan

Kos hidup tinggi, ramai warga Australia kini hidup miskin, menurut tinjauan

Australian Associated Press (AAP) melaporkan 93% daripada 1,700 responden memohon perkhidmatan badan amal untuk beli barangan keperluan asas.

AAP dalam tinjauan turut melaporkan 25% tidak mampu berjumpa doktor atau doktor gigi, selain tidak mampu menyediakan hidangan tiga kali sehari. (Gambar AP)
CANBERRA:
Beribu-ribu rakyat Australia dilaporkan hidup dalam kemiskinan ekoran krisis kos sara hidup, menurut satu tinjauan.

Australian Associated Press (AAP) melaporkan hasil tinjauan, mendapati 93% individu memohon perkhidmatan badan amal dalam tempoh 12 bulan lalu bergelut membeli barangan keperluan asas.

Daripada 1,700 orang yang menyertai tinjauan itu, kira-kira 25% berkata mereka tidak mampu membawa anak-anak mereka berjumpa doktor atau doktor gigi dan satu daripada lima menyatakan mereka tidak mampu menyediakan hidangan tiga kali sehari, lapor Xinhua.

Stuart Glover, setiausaha misi untuk perkhidmatan amal, berkata responden pada kebiasaannya dibekalkan dengan kurang 6 dolar Australia (kira-kira USD4) sehari selepas membayar kos sara hidup mereka.

“Kami menyaksikan peningkatan ketara setiap hari, rakyat Australia yang memerlukan bantuan sejak tahun lepas,” katanya dipetik oleh AAP.

Menurut data yang diterbitkan Biro Perangkaan Australia (ABS) pada April, Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak tujuh peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Mac.

Bendahari Jim Chalmers, berkata Australia telah melepasi kemuncak krisis inflasi, namun tekanan kos sara hidup akan berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.