Mahkamah Pakistan bebas Imran Khan dengan ikat jamin

Mahkamah Pakistan bebas Imran Khan dengan ikat jamin

Bekas perdana menteri itu menyifatkan penahanannya sebagai 'penculikan'.

Ramai terkorban dan ratusan lagi cedera dalam protes susulan penahanan Imran Khan yang didakwa tidak sah. (Gambar AP)
NEW DELHI:
Mahkamah Pakistan membebaskan bekas perdana menteri, Imran Khan dengan ikat jamin.

Imran ditahan awal minggu ini atas dakwaan rasuah dan penahanannya telah mencetuskan bantahan di seluruh negara.

Mahkamah Tinggi Islamabad mendengar petisyen jaminan Imran dan memberinya perlindungan daripada ditahan sehingga 17 Mei.

Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Agung pada Khamis memutuskan penahanan Imran pada Selasa oleh pasukan separa tentera sebagai tidak sah.

Imran dalam temu bual media semasa hadir untuk perbicaraan kesnya pada Jumaat menyifatkan apa yang berlaku pada dirinya sebagai “penculikan”.

“Saya sedang menghadiri prosedur di Mahkamah Tinggi (Islamabad). Mereka tidak mempunyai justifikasi untuk menahan saya. Saya telah diculik. Mereka hanya menunjukkan waran kepada saya ketika dalam perjalanan ke penjara.

“Nampaknya undang-undang tentera telah diisytiharkan,” katanya.

Ramai yang telah terkorban dan ratusan lagi cedera dalam protes yang bermula pada Selasa dan ketegangan terus berlaku di seluruh Pakistan.

Protes berterusan meskipun kerajaan mengharamkan perhimpunan awam dan perkhidmatan internet masih disekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.