SpaceX lancar stesen angkasa komersial pertama dunia pada pertengahan 2025

SpaceX lancar stesen angkasa komersial pertama dunia pada pertengahan 2025

Syarikat itu turut akan melakukan penerbangan angkasa lepas dikendalikan manusia sejurus selepas melancarkan stesen itu ke orbit selewat-lewatnya Ogos 2025.

SpaceX Falcon Heavy berlepas dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, AS pada 30 April. SpaceX dijangka melancarkan stesen angkasa komersial pertama di dunia menjelang Ogos 2025. (Gambar AP)
WASHINGTON:
SpaceX mengesahkan pada Rabu ia menandatangani kontrak untuk melancarkan stesen angkasa komersial pertama di dunia.

Syarikat berkenaan turut akan melakukan penerbangan angkasa lepas dikendalikan manusia sejurus selepas melancarkan stesen itu ke orbit selewat-lewatnya Ogos 2025, lapor United Press International (UPI) memetik kenyataan SpaceX.

Stesen angkasa Haven-1 sedang dibangunkan oleh Vast, sebuah syarikat aeroangkasa persendirian berpangkalan di Long Beach, California.

“Misinya adalah untuk menyumbang kepada masa depan yang berbilion manusia hidup dan berkembang maju di angkasa, masa depan populasi manusia dan sumber kita berkembang jauh melebihi imaginasi semasa kita,” menurut kenyataan itu.

Vast dibiayai sepenuhnya oleh jutawan yang juga pengasas serta ketua pegawai eksekutif syarikat, Jed McCaleb.

SpaceX akan menggunakan roket Falcon 9 untuk membawa stesen Haven-1 ke orbit.

Kru SpaceX kemudiannya akan menggunakan kapal angkasa Dragon yang boleh diguna semula syarikat itu untuk sampai ke stesen angkasa dan berada di orbit selama 30 hari.

SpaceX juga akan menyediakan latihan kru, serta sut angkasa dan latihan masuk dan keluar kapal angkasa, selain menjalankan simulasi misi sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Vast.

Pemilihan kru sedang dijalankan dan mereka yang terpilih akan diumumkan kemudian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.