Covid-19 bukan lagi kecemasan global, kata WHO

Covid-19 bukan lagi kecemasan global, kata WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata pandemik itu menyaksikan trend penurunan sejak setahun lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat memutuskan Covid-19 tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.
GENEVA:
Pandemik Covid-19 global tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman dpa.

Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan perkara itu di Geneva pada Jumaat selepas dunia dilanda pandemik sejak tiga tahun lalu.

Pandemik itu menyaksikan trend penurunan sejak setahun lalu, kata Tedros, merujuk kepada peningkatan imuniti melalui vaksinasi dan jangkitan.

Pengumuman itu tidak mempunyai kesan konkrit susulan setiap negara memutuskan sendiri langkah perlindungan yang akan dikenakan.

Tedros menegaskan bahawa Covid-19 akan terus kekal dalam masyarakat dunia, berbahaya dan masih boleh mencetuskan varian berbahaya pada bila-bila masa.

Namun begitu, WHO mengikuti saranan jawatankuasa pakar bebas kerana yakin dunia mempunyai mekanisme yang baik untuk melindungi manusia daripada virus itu.

Selain vaksin dan ubat-ubatan, ia termasuk langkah perlindungan seperti memakai pelitup muka atau menjaga jarak di ruang yang sesak dan kurang pengudaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.