Lelaki ditahan baling katrij senapang patah di Istana Buckingham

Lelaki ditahan baling katrij senapang patah di Istana Buckingham

Dia ditahan kira-kira 7 malam waktu tempatan selepas menghampiri pintu pagar istana, menurut Agensi Anadolu.

Insiden di Istana Buckingham itu berlaku beberapa hari sebelum istiadat pertabalan Raja Charles III pada Sabtu ini. (Gambar AFP)
LONDON:
Seorang lelaki ditahan pada Selasa selepas melemparkan objek yang dipercayai ‘kartrij senapang patah’ di pekarangan Istana Buckingham, kata Polis Metropolitan London.

Suspek ditahan pihak berkuasa keselamatan kira-kira 7 malam waktu tempatan selepas dia menghampiri pintu pagar istana, menurut Agensi Anadolu.

“Lelaki itu kini dalam tahanan polis.

“Tiada laporan mengenai sebarang tembakan dilepaskan atau sebarang kecederaan kepada anggota keselamatan atau orang awam. Pegawai masih berada di tempat kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” kata Ketua Superintendan Joseph McDonald dalam satu kenyataan.

Insiden itu berlaku beberapa hari sebelum istiadat pertabalan Raja Charles III pada Sabtu ini.

Tahap keselamatan di ibu negara dipertingkat untuk pertabalan pertama Britain dalam tempoh hampir 70 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.