
Polis Tehran merujuk kes terhadap Katayoun Riahi dan Pantea Bahram kepada pihak kehakiman Iran kerana didakwa “membuka hijab di tempat awam dan mengongsikan gambar di internet”, lapor agensi berita Tasnim semalam. Dua wanita itu berdepan hukuman penjara atau denda.
Awal bulan ini polis mengumumkan mula menggunakan teknologi “pintar” di tempat awam untuk bertindak terhadap wanita yang enggan mematuhi kod pakaian negara itu.
Minggu lalu, gambar Bahram, 53, yang diambil ketika penayangan filem, manakala Riahi, 61, memuat naik beberapa gambar diambil di tempat-tempat awam sekitar Tehran. Kedua-duanya tidak berhijab dalam gambar-gambar itu.
Iran mewajibkan wanita berhijab di tempat awam selepas revolusi negara itu pada 1979.
Bilangan wanita yang enggan mematuhi kod pakaian itu meningkat selepas gelombang protes sejak 16 September lalu, susulan kematian Mahsa Amini, 22, ketika dalam tahanan kerana dikatakan melanggar peraturan itu.
Pada 16 April, pihak berkuasa mengumumkan menutup 150 premis komersial kerana pekerjanya tidak mematuhi kod pakaian.
Riahi dilepaskan dengan jaminan selepas ditahan seminggu susulan tindakannya memuat naik gambar ke Instagram tanpa hijab bagi menyokong protes terhadap nasib Amini.
Beliau menjadi aktres Iran pertama memuat naik gambar seperti itu di media sosial bagi menyokong gerakan berkenaan.