Tanah runtuh di pos sempadan Pakistan, angka kematian meningkat kepada 8

Tanah runtuh di pos sempadan Pakistan, angka kematian meningkat kepada 8

Tanah runtuh di pos sempadan Torkham itu menimbus sekumpulan trak yang menunggu untuk menyeberang dari Pakistan ke Afghanistan.

Pekerja penyelamat dan sukarelawan membawa keluar mayat dari runtuhan di pos sempadan Torkham. (Gambar AP)
LANDI KOTAL:
Angka kematian akibat tanah runtuh teruk awal minggu ini yang menimbus sekumpulan trak yang menunggu untuk menyeberang dari Pakistan ke Afghanistan meningkat kepada lapan orang, kata pegawai.

Kejadian tanah runtuh pada awal pagi Selasa itu berlaku di pos sempadan Torkham, tempat perdagangan dan transit paling sibuk antara kedua-dua negara, ketika lebih 100 trak sedang menunggu untuk menyeberang.

“Setakat ini kami telah menemukan tujuh mayat,” kata jurucakap perkhidmatan penyelamat Pakistan, Bilal Faizi.

Tambahnya, operasi sedang dijalankan untuk mengeluarkan mayat kelapan daripada runtuhan.

Sejumlah 20 trak tertimbus dalam kejadian di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di barat laut Pakistan itu, dengan perkhidmatan penyelamat pada mulanya melaporkan dua kematian.

Gelongsoran tanah paling teruk melanda sekitar 120m dari lintasan sempadan utama, menyebabkan kebakaran apabila pemandu memasak di atas dapur gas sebelum masuk waktu berpuasa.

“Penyelamat sudah hampir dengan mayat kelapan, mereka dapat melihatnya,” kata Faizi.

“Kami telah mengalihkan 60% serpihan runtuhan, tetapi semalam satu lagi kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan sama, menyebabkan operasi menyelamat ditangguhkan.”

Timbalan Pesuruhjaya Daerah Abdul Nasir Khan mengesahkan angka kematian itu dan berkata, lalu lintas di jalan raya diteruskan pada Khamis.

Punca tanah runtuh tidak jelas sejurus kejadian berlaku, tetapi seorang pegawai berkata pada Selasa, jentera berat telah digunakan selama berbulan-bulan dalam projek di bukit sekitar pos sempadan itu.

Hujan lebat semalaman mungkin turut menjadi faktor penyumbang, kata pegawai itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.